fb fb fb fb fb

ARC, skuad Bunga Raya 15S mampu buat kejutan

Presiden KRM, Amir Amri Mohammad

PETALING JAYA, 29 Mei- Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) optimis Skuad Bunga Raya 15 sebelah negara akan mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Ragbi Asia (ARC).

Biarpun sasaran diletakkan sekurang-kurangnya meraih satu kemenangan, pasukan negara dilihat mampu membuat kejutan.

Keyakinan itu disuarakan presidennya, Amir Amri Mohammad dengan persiapan enam kem latihan telah dijalankan.

"Pada tahun ini, sasaran kita adalah untuk menang satu perlawanan dan saya harap penanda aras itu akan tercapai dan perjalanan latihan berjalan sangat lancar."

"Berdasarkan sejarah, kita belum menang lagi dengan Hong Kong dan Korea dan saya harap tahun ini, kita dapat capai kemenangan," kata Amir Amri kepada pemberita selepas Majlis Memeterai Perjanjian Penajaan Pakaian Rasmi Pengadil Kebangsaan dan Kerjasama Strategik antara Kesatuan Ragbi Malaysia dan Enervive Sports di sekitar Petaling Jaya.

Skuad negara dijadualkan membuka kempen ARC 2024 menentang Korea Selatan di Incheon pada 2 Jun ini, sebelum menerima kunjungan Hong Kong pada 8 Jun dan bertemu UAE pada 21 Jun depan di Dubai.

Pada edisi lepas, skuad Bunga Raya 15s dibelasah 3-27 oleh Korea Selatan dan 9-88 oleh juara bertahan Hong Kong.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM