PUTRAJAYA, 8 November- Tiada kementerian, jabatan atau agensi melanggar arahan baharu kawalan perbelanjaan awam yang dikeluarkan.
Ia sebagai langkah penjimatan selain mengelakkan pembaziran sumber kewangan awam, setakat ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pemantauan sentiasa dilakukan dari setiap sudut bagi memastikan arahan itu dipatuhi.
"Setakat ini, kita masih memerhatikan dan saya yakin semua ketua jabatan memahami apa yang diarahkan.
Sekiranya berlaku pelanggaran arahan, mungkin akan ada tindakan yang diambil tetapi saya yakin dan percaya ketua jabatan memahami apa yang dihasratkan oleh kerajaan," kata Mohd Zuki kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Perancangan Kebangsaan 2023 (NPC2023) di Putrajaya.
Arahan menggariskan langkah perbelanjaan dibuat secara optimum termasuk penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel dihadkan.
Selain itu, sumber utiliti meliputi elektrik dan air serta peralatan pejabat digunakan secara optimum, di samping mengelakkan pembaziran penyediaan makan dan minum ketika mesyuarat atau program.