fb fb fb fb fb

AR tarikan utama reruai Maritim Malaysia di LIMA 2025

Foto Maritim Malaysia

LANGKAWI, 19 Mei – Reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka mencuri tumpuan pengunjung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 apabila buat pertama kalinya menampilkan teknologi Augmented Reality (AR) untuk mendekatkan orang ramai dengan dunia penguatkuasaan maritim negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah menerusi kenyataan berkata pendekatan tersebut membolehkan pengunjung lebih memahami cabaran sebenar yang dihadapi anggota Maritim Malaysia di laut.

“Tarikan utama reruai Maritim Malaysia pada kali ini adalah Augmented Reality (AR), di mana pengunjung hanya perlu mengimbas di dinding reruai bagi melihat paparan maklumat dan imej interaktif berbentuk tiga dimensi (3D),” katanya.

Selain AR, pengunjung juga turut berpeluang merasai simulasi Virtual Reality (VR) yang mensimulasikan pengalaman menyertai operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Maritim Malaysia turut membawa Virtual Reality (VR), iaitu simulasi aksi penguatkuasaan yang ‘membawa’ pengunjung bersama anggota Maritim Malaysia menjalankan operasi membanteras jenayah dan melakukan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT),” jelas beliau lagi.

Tambahnya, sebagai tambahan kepada teknologi interaktif, pengunjung turut dapat melihat model miniature atas meja (table top) yang memaparkan kedudukan kapal peronda dan aset operasi Maritim Malaysia di seluruh perairan negara.

“Bahan interaktif kali ini bukan sahaja memberi pengalaman yang bermakna, malah membuka mata orang ramai terhadap peranan penting Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara,” kata beliau.

Model tersebut turut membantu memberi penjelasan mengenai kawasan tanggungjawab operasi agensi dalam memastikan keselamatan maritim negara terpelihara.

Reruai Maritim Malaysia akan dibuka di dua lokasi utama iaitu di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL) dari 20 hingga 24 Mei ini, bermula pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD