KUANTAN, 26 April - Seramai 51 peserta tempatan dan antarabangsa berentap menguji kebolehan dalam Pertandingan Memanjat Pokok Asia Pasifik 2024 (APTCC).
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata buat julung kali, Kuantan terpilih menjadi lokasi penganjuran edisi ke-15 yang menampilkan peserta dari Australia, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Singapura, Taiwan, Thailand dan Korea.
"Ini adalah acara sukan pelancongan yang bertaraf tinggi di mana, peserta-peserta ini adalah pemenang di negara masing-masing. Pemenang pertandingan kali ini, mereka berkelayakan untuk masuk ke peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian APTCC, di sini.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArM), Nik Ikmal Fathi Nik Husain Fathi berkata lima pokok jenis tembusu dipilih berdasarkan kesesuaian lima acara dipertandingkan, untuk membolehkan peserta mempamerkan kecekapan, teknik dan kepantasan.
"Dalam pemilihan pokok, dia bukan pokok-pokok yang biasa, kita perlu ada beberapa kriteria yang mencukupi. Kriteria daripada segi ketinggian, cabaran daripada cabang dia itu dan jugak cabaran untuk mendaki," katanya.
Tambah Nik Ikmal Fathi, peserta yang menang pada pertandingan kali ini akan ditaja untuk menyertai pertandingan memanjat peringkat antarabangsa di Amerika Syarikat pada Oktober tahun depan.