fb fb fb fb fb

APMM Pulau Pinang tahan pekerja asing, kendali bot nelayan tempatan

Foto Facebook APMM

GEORGE TOWN, 17 November - Sebuah bot nelayan tempatan yang menggajikan lima warga Myanmar tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri ditahan semalam, di 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata kapal KM Burau yang sedang menjalankan rondaan telah mengesan bot nelayan kelas C itu dan pemeriksaan mendapati terdapat lima kru termasuk tekong warga Myanmar berada di atas bot berkenaan.

Pemeriksaan mendapati kesemua lelaki berumur 22 hingga 45 tahun itu tidak mempunyai permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Malah, mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dijalankan dan kami menahan semua warga Myanmar terbabit untuk siasatan lanjut,"

"APMM Pulau Pinang, turut merampas semua hasil laut sebanyak 1,500 kilogram daripada bot itu dan mengesan pemilik bot untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit atau pas yang sah.

TETITIA YUSOFF