(APMM Perak menyelamatkan 12 pemancing tempatan semalam/FOTO APMM Perak)
IPOH, 10 Julai - Seramai 12 pemancing tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan pada sistem kemudi dalam kejadian 4.56 petang semalam.
Kesemua mereka berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak di kedudukan 24 batu nautika tenggara Pulau Jarak, di sini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup, berkata gerakan mencari dan menyelamat dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi berkenaan pengesanan ‘distress’ dari Personal Locator Beacon (PLB) milik salah seorang mangsa.
"KM TUGAU yang sedang melakukan rondaan rutin menerusi OP PINTAS, OP SAYONG dan OP TIRIS telah diaturgerak ke lokasi dan melakukan pencarian dalam radius lima hingga lapan batu nautika.
"Bot yang ditemukan telah ditunda oleh bot bantuan sambil diiringi KM TUGAU ke pelantar Bagan Parit 4, Hutan Melintang pada sekitar pukul 12.46 pagi tadi," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua pemancing yang diselamatkan berada dalam keadaan stabil.
"Komuniti maritim disarankan agar membuat persediaan sewajarnya sebelum turun ke laut dan menangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan laut bergelora, pastikan bot dalam keadaan baik serta dilengkapi dengan peralatan seperti jaket keselamatan dan alat komunikasi.
Komuniti pemancing juga diingatkan agar menyimpan nombor talian kecemasan 999 dan memiliki peranti kecemasan peribadi 'personal locator beacon'.
"Alat ini boleh membantu pasukan penyelamat bagi mengesan kedudukan pemilik peranti bagi tujuan menyelamat di saat kecemasan," katanya.