fb fb fb fb fb

APMM lupus 106 bot nelayan asing

Bot nelayan asing dilupuskan menggunakan kaedah musnah pecah di Kuala Besar, Kelantan/ Foto: Maritim Malaysia

KUALA TERENGGANU, 19 April- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah melupuskan 106 bot nelayan asing yang dilucut hak dalam tempoh bermula 2020 hingga semalam.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata pelupusan dilakukan menggunakan kaedah tenggelam untuk dijadikan tukun di sekitar perairan Kuala Terengganu, selain kaedah musnah pecah.

Terkini, katanya, empat buah bot nelayan asing Vietnam dilupuskan dengan kaedah musnah pecah di Kuala Besar, Kelantan semalam.

"Empat bot itu adalah hasil tangkapan aset Maritim Terengganu pada 2022 dan 2023 dengan anggaran nilai bot yang dilupuskan hampir RM450,000.

"Pelupusan empat bot ini adalah proses pertama Maritim Terengganu bagi 2024.

"Kaedah musnah pecah ini hanya dilakukan pada bot bersaiz bawah 70 gross registered tonnage (GRT) yang mana menurut Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bot berkenaan tidak sesuai dijadikan tukun kerana mudah hancur dan hanyut dalam air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairulanuar juga memaklumkan masih terdapat 12 buah bot nelayan asing yang telah mendapat kelulusan pelupusan dan akan melalui proses pelupusan pada tahun ini. 

Katanya, Maritim Terengganu akan terus mempertingkatkan rondaan di sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras kegiatan bot nelayan asing yang mencuri hasil laut negara.

ZEHRA BINTI ZAMBRI