fb fb fb fb fb

APMM guna pesawat udara cari mangsa pelanggaran bot dan tongkang yang hilang

Foto: FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan pesawat udara miliknya bagi mencari tiga mangsa yang masih hilang dalam insiden pelanggaran bot nelayan dan tongkang di perairan Kemaman pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada 8.40 pagi tadi dengan pangkalan hadapan telah dibuka di Jeti Haji Pa di Kemaman.

“Bot Penggalang 17 telah diatur gerak ke tempat kejadian manakala pesawat udara APMM sedang diatur gerak untuk melaksanakan pencarian melalui udara di sekitar kawasan kejadian.

“Usaha Carilamat turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis. Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman turut membantu usaha mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maritim Malaysia menyarankan komuniti maritim berhampiran untuk segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman di talian 011-13390521 atau talian kecemasan NG999 sekiranya mempunyai sebarang maklumat barkaitan sebarang penemuan bagi membantu CARILAMAT yang dilaksanakan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI