fb fb fb fb fb

APM Perlis kendalikan 31 kes pokok tumbang akibat ribut

Foto APM Perlis

KANGAR, 23 Jun- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis menerima 31 panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di seluruh Perlis akibat angin kencang serta hujan lebat yang berlaku kira-kira pukul 2.00 hingga 3.00 pagi tadi.

Kejadian pokok tumbang berkenaan melibatkan beberapa jalan utama di Perlis terhalang serta menimpa wayar elektrik ke kediaman penduduk.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud dalam kenyataan memaklumkan antara lokasi berlakunya kejadian pokok tumbang ialah Batu 2 Jalan Kaki Bukit, Jalan Behor Gonchar dan Jalan Kota di Kampung Kota.
 
Turut berlaku kejadian pokok tumbang ialah melibatkan laluan Batu 9 Jalan Kaki Bukit, Jalan Lomboh Tambun Tulang, Jalan Kuala Perlis-Padang Benta, Jalan Behor Pulai dan Laluan ke Tasoh Lake Resort.
 
Seramai 50 pegawai dan anggota APM Negeri diatur gerak bagi kerja-kerja pemotongan serta pembersihan pokok tumbang.
 
APM Perlis dalam keadaan bersiap siaga menghadapi sebarang kejadian bencana berikutan cuaca tidak menentu ketika ini di Perlis, terutamanya kejadian ribut, pokok tumbang dan banjir kilat serta kes kecemasan lain.

ROSLINA BINTI DIN