fb fb fb fb fb

APM Johor siap siaga hadapi MTL

Foto:Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 8 November- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Johor telah bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), selain memastikan kekuatan sumber manusia serta aset-aset angkatan tersebut berada dalam keadaan baik.

Pengarah APM Johor Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata sebanyak 1,264 kekuatan pegawai dan anggota bersedia untuk digemblengkan serta 72 aset bot dan 34 kenderaan darat pelbagai jenis bersiap siaga untuk operasi banjir dan membantu penduduk yang terjejas.

Katanya, APM Johor juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir bermula 1 November lepas bagi melakukan pemantauan berkala di kawasan hotspot banjir dengan 874 kawasan hotspot banjir telah dikenal pasti.

“APM Johor juga telah melaksanakan ‘Disaster Risk Reduction’ bagi mengurangkan risiko bencana merangkumi elemen latihan dan pelan mitigasi. Melalui ‘Program Local Engagement Approach for Disaster and Emergency Response’ (LEADER) pula, APM Johor telah melatih seramai 65,701 orang. 

“Latihan ini merangkumi ceramah keselamatan kepada penduduk berisiko, program keselamatan kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kamal, di peringkat komuniti pula program berbentuk ‘Comunity Based Disaster Risk Management (CBDRM)’ telah diadakan bagi kawasan-kawasan berisiko. 

Beliau berkata tujuan utama program CBDRM adalah untuk meningkatkan keupayaan kumpulan pemimpin komuniti supaya sentiasa proaktif dalam mengurangkan risiko bencana dan bersiap siaga, di samping menerapkan nilai daya tahan (resilient) menghadapi bencana.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata MTL atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka berlaku pada 11 November tahun ini sehingga Mac 2024.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI