fb fb fb fb fb

Aplikasi MyJPJ, pengguna tunjuk perkembangan positif

Setakat Februari 2024, 145 aduan diterima dan 131 daripadanya menggunakan aplikasi itu.

KUALA TERENGGANU, 8 Mac- Penggunaan aplikasi MyJPJ di Terengganu menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah itu meningkat.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata melalui 600 aduan yang diterima tahun lalu, 403 daripadanya diterima menerusi aplikasi berkenaan.

Katanya, setakat Februari 2024, 145 aduan diterima dan 131 daripadanya menggunakan aplikasi itu.

Daripada keseluruhan aduan diterima pada 2023, paling banyak gagal mematuhi isyarat lampu merah iaitu 99 kes, memotong di garisan berkembar (67 kes) dan memotong sebelah kiri (55 kes).

Jelas Zulkarnain, pada tahun ini, kesalahan membabitkan nombor pendaftaran kenderaan (18 kes), tidak memakai topi keledar (15 kes) dan memotong di garisan berkembar (13 kes).

"Saya mahu nasihatkan semua pengguna jalan raya supaya dapat meningkatkan keselamatan semasa memandu dan ingat bahawa selain JPJ, terdapat orang awam mula membuat aduan untuk diambil tindakan. Mana-mana pemandu yang tidak mematuhi peraturan, aduan yang kita terima secara drastiknya meningkat selepas kita dah ada aplikasi ini. Orang awam dah mula menggunakan dengan lebih mudah membuat aduan dengan JPJ," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Bersama Agensi yang diadakan di sini.

Menerusi Operasi Bersepadu Bersama Agensi, sebanyak 400 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 35 telah diambil tindakan di atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM), lesen tamat tempoh serta kesalahan teknikal.

Dua buah motosikal juga telah disita.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM