Aplikasi MCMC Nexus bantu pantau kualiti Internet

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berucap pada majlis pelancaran aplikasi MCMC Nexus di Menara MCMC hari ini / Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 31 Mac– Aplikasi MCMC Nexus dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan pengguna menguji kelajuan Internet serta menilai prestasi rangkaian secara masa nyata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengguna menyumbang data prestasi rangkaian sebenar mengikut lokasi masing-masing.
  • Maklumat masa, lokasi dan koordinat dihantar secara automatik kepada MCMC.
  • Memudahkan pemantauan kemudahan rangkaian dan membolehkan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
  • Setakat ini 51,415 muat turun; penglibatan pengguna menghasilkan 168 juta titik data bagi mengenal pasti liputan lemah.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, aplikasi itu membolehkan orang ramai menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi masing-masing.

“Maklumat seperti masa, lokasi serta koordinat akan dihantar secara automatik kepada MCMC.

Ini membolehkan pemantauan kemudahan rangkaian dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran aplikasi MCMC Nexus di sini, hari ini.

Tambahnya, aplikasi itu turut membantu pengguna menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

Sehingga kini, aplikasi berkenaan mencatatkan 51,415 muat turun sejak diperkenalkan secara berperingkat pada Februari 2025.

Melalui penglibatan pengguna, sebanyak 168 juta titik data kualiti rangkaian berjaya dikumpul di seluruh negara.

Data tersebut membantu pihak berkuasa mengenal pasti kawasan liputan lemah serta isu kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat.