KUALA LUMPUR, 26 Mac - Satu aplikasi telefon pintar telah dibangunkan bagi memperkasa digitalisasi pengguna.
Ia susulan peningkatan aduan melibatkan kes penipuan transaksi dalam talian yang semakin membimbangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata aplikasi tersebut iaitu 'ezAdu' merupakan inisiatif kerajaan mempelbagaikan platform penyaluran aduan pengguna sekali gus memantapkan inisiatif perlindungan pengguna.
(Perdana Menteri melakukan gimik perasmian sambutan HPK 2022)
"Aplikasi yang dinamakan 'ezAdu' ini telah mula dibangunkan pada tahun 2015 dan pada tahun 2021, ia ditransformasi dan ditambahbaik bertujuan meningkatkan lagi tahap keberkesanan saluran aduan yang telah disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di mana pengadu boleh menyalurkan aduan serta merta melalui telefon pintar masing-masing", katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022, di sini hari ini.
Terdahulu, Aplikasi Price Catcher yang dibangunkan pada tahun 2019 turut membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu pengguna merancang perbelanjaan, dengan memilih premis yang menawarkan harga yang berpatutan.
Dalam pada itu, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), berhasrat melahirkan pengguna yang bijak dan berdaya upaya serta peniaga beretika.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelbagai program kepenggunaan dirangka oleh KPDNHEP bagi memperkasa pengguna terutama dalam aspek literasi kewangan, keputusan membeli dan ganti rugi.
Beliau juga menasihati pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan peniaga yang tidak beretika.