SEPANG, 13 Februari – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) terus komited memperkasa agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dalam kalangan penjawat awam melalui laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q).
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata laluan alternatif APEL.Q membuka peluang kepada lebih ramai individu, termasuk mereka yang bekerja dan memiliki pengalaman luas, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Berdasarkan kajian, seramai 60 hingga 70 peratus masyarakat Malaysia yang bekerja layak melanjutkan pengajian melalui laluan APEL.Q, termasuk dalam sektor awam.
"Inisiatif ini mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kerajaan melalui INTAN yang menyediakan dana bagi membantu penjawat awam meningkatkan kelayakan akademik mereka,” katanya pada MQA Education Fair 2025, di sini.
Menurut Mohammad Shatar, usaha sama MQA dan INTAN itu selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global, khususnya dalam PSH.
APEL.Q merupakan proses penilaian pembelajaran formal, tidak formal dan bukan formal berdasarkan pengalaman terkumpul seseorang individu bagi memperoleh kelayakan akademik yang setara dengan program pengajian tertentu.
Sementara itu, Pengarah INTAN, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan 11 institusi pendidikan tinggi (IPT) yang menawarkan program APEL.Q.
“Semua IPT terbabit bersedia bekerjasama dengan INTAN dalam menjayakan pelaksanaan program ini. APEL.Q memberi peluang kepada penjawat awam meningkatkan kelayakan akademik tanpa perlu meninggalkan jawatan sedia ada,” katanya.
Menurut Dr. Mohd Zabri, kerajaan akan menanggung 50 peratus kos pengajian atau maksimum RM15,000 bagi penjawat awam yang berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan Belanjawan 2025.