KUALA LUMPUR, 4 Februari – "Apabila kita sakit, kita tidak mahu menunggu terlalu lama," demikian menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, yang melihat transformasi digital kesihatan sebagai langkah penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan di klinik kerajaan.
Pelaksanaan sistem pengurusan klinikal berasaskan awan (CCMS) di 50 klinik kerajaan sepanjang 2024 berjaya mengurangkan waktu menunggu pesakit daripada tiga jam kepada hanya 30 minit.
Ini sekali gus membolehkan masa menunggu dikira dari ‘check-in’ di kaunter sehingga berjumpa petugas kesihatan.
Menurut Prof. Dr. Sharifa, inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pesakit tetapi juga meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan kerajaan.
"Waktu menunggu yang dikurangkan kepada 30 minit adalah satu inisiatif yang sangat baik. Ini perlu dipenuhi dalam semua keadaan, tetapi kita juga perlu memastikan bilangan kakitangan mencukupi," katanya ketika dihubungi Berita RTM, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa latihan berkualiti kepada kakitangan kesihatan serta bekalan ubat yang mencukupi adalah faktor penting bagi memastikan sistem digital ini benar-benar memberi impak kepada pesakit.
"Selari dengan transformasi digital, kita bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan tetapi juga memperbaiki produktiviti dalam pengurusan pesakit," tambahnya.
Bagi tahun 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM19 juta untuk melaksanakan CCMS di 100 klinik tambahan, menjadikan lebih banyak fasiliti kesihatan mendapat manfaat digitalisasi.
Namun, klinik yang masih belum melaksanakan sistem CCMS belum dapat menikmati peningkatan kecekapan ini sepenuhnya.
Menurut perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), lebih banyak klinik kerajaan akan menerima manfaat sistem digital ini dalam usaha meningkatkan kecekapan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.