CYBERJAYA, 18 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan komitmennya untuk tidak mengambil sebarang gaji masih berkuat kuasa sehingga kini, biarpun ekonomi negara sudah menampakkan pemulihannya.
Malah jelas Anwar, potongan gaji sebanyak 20 peratus kepada menteri-menteri juga masih diteruskan.
"Sekarang ini belum. Setakat ini saya nak umumkan, saya tidak ambil gaji dan potongan 20 peratus bagi yang lain (menteri), selagi ekonomi tidak pulih sepenuhnya. Hari ini baru ada perubahan (pemulihan ekonomi), tetapi belum pulih (sepenuhnya)," kata Anwar pada sidang media sempena pemukiman bersama Jemaah Menteri di sini.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan bersetuju membenarkan pelarasan tarif air di semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dibuat kerana mendapat permintaan daripada semua pihak berkaitan.
Tambahnya, pelarasan itu diusulkan dalam mesyuarat bersama-sama semua menteri besar dan ketua menteri.
"Sudah dijelaskan oleh semua pihak bahawa semua negeri meminta kita menaikkan. Dalam mesyuarat dengan menteri besar dan ketua menteri, ada negeri tidak naikkan (tarif air) lebih 40 tahun, jadi mereka mengusulkannya dan kerajaan Persekutuan setuju," kata Anwar.
Dalam pada itu, buat pertama kali dalam sejarah Perbendaharaan negara, peruntukan untuk semua projek yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 sudah disalurkan kepada pelbagai kementerian.
Jelas Anwar, peruntukan itu untuk membolehkan semua projek terbabit dilaksanakan segera berbanding menunggu selepas suku pertama tahun yang diamalkan sebelum ini.
"Salah satu isu yang kami bangkitkan adalah memastikan projek yang berada di dalam bajet, dilaksana segera. Tidak perlu tunggu suku tahun pertama, tetapi kita mulakan dari sekarang. Seperti yang berlaku pada tahun 2023. Untuk tahun 2024 ini, semua projek perlu segera," kata Anwar.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru akan diputuskan segera.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata beberapa nama calon yang telah dikemukakan, perlu melalui beberapa proses untuk pelantikan baru.
Jawatan berkenaan kosong susulan pelantikan CEO terdahulu Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai menteri kewangan II semasa rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 12 Disember lepas.