PENAMPANG, 31 Mei - Kerajaan Madani komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, masalah kemiskinan tegar di negeri itu menjadi keutamaannya memandangkan masalah itu lebih serius berbanding Pulau Pinang atau di Selangor.
Katanya, meskipun kadar kemiskinan di negeri itu telah menurun dari 20,000 kepada 9,000 orang, kerajaan tidak mahu rakyat negeri Sabah terus dibebani kesukaran akibat kemiskinan tegar.
“Miskin tegar ini maksudnya baju seragam sekolah tak mampu dibeli, makan minum atau susu bayi mungkin ada masalah, sebab itu menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
"Sekarang tinggal 9,000 miskin tegar dan kita mahu menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah, sebelum akhir Julai 2024.
"Ini keutamaan kita. Kita boleh bincang pelbagai hal tetapi anak kita tak cukup makan. Ini tanggungjawab kita untuk menyelesaikannya," katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.
Menurut Anwar, perbincangan terus dijalankan antara kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan bagi menangani masalah kemiskinan, isu bekalan air dan bekalan elektrik yang membelenggu penduduk Sabah.
Sementara itu, mengulas isu bekalan elektrik yang lama membelenggu penduduk Sabah, Anwar berkata perbincangan cadangan jangka pendek telah dilakukan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Kita minta segerakan bekalan gas daripada Miri akan di bawa masuk melalui Sipitang dan dipercepatkan supaya menyelesaikan masalah ini, sekali gus membawa pelaburan baru ke Sabah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
- Anwar mahu agensi terlibat beri kerjasama selesai isu miskin tegar
- Isu kewarganegaraan, miskin tegar perkara dibincangkan MPN PKR Sabah
- Miskin tegar di Sabah berkurangan kepada 13,172 ketua isi rumah- Hajiji
- Bantuan kepada golongan miskin tegar akan diselaras, elak pertindihan - PM
- Noktahkan miskin tegar hujung tahun ini - PM