fb fb fb fb fb

Anwar ucap takziah kepada keluarga dua pelajar Malaysia maut di New Zealand

Tangkap layar Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut mendoakan agar tiga lagi pelajar Malaysia yang cedera dalam insiden itu diberikan kesembuhan.

"Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Tinggi di New Zealand akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga," katanya dalam hantaran itu.

Sebelum ini Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pelajar maut dalam insiden itu pada pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan.

"Nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dan mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands," kata kenyataan itu.

Dua pelajar yang meninggal dunia ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa masing-masing merupakang penuntut University of Canterbury.

Sementara itu tiga mangsa lain yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut universiti sama, manakala Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI