KUALA LUMPUR, 6 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan kepada Dr Masoud Pezeshkian atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden Iran.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata, kemenangan itu mencerminkan semangat demokrasi dan menandakan masa depan yang cerah untuk Iran.
"Potensi hubungan Malaysia-Iran sangat besar dan penuh dengan janji. Kami berharap dapat mengukuhkan mekanisme dua hala kami untuk memperdalam dan meluaskan kerjasama antara kedua-dua negara.
"Kami komited untuk bekerjasama dalam platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dan Membangun-8 (D8).
"Dedikasi yang teguh ini akan meningkatkan objektif bersama kami dan memupuk kerjasama yang lebih erat di Selatan Global," katanya.
Pada masa sama kerajaan MADANI menyeru umat Islam bersatu dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza selain memastikan keadilan dan kemanusiaan dipulihkan.
Dalam pada itu Anwar juga mengalu-alukan kehadiran Dr Pezeshkian ke Malaysia.
Masoud Pezeshkian dipilih sebagai Presiden baharu Iran setelah menewaskan saingannya Saeed Jalili, iaitu bekas ketua perunding nuklear yang juga ketua badan keselamatan dengan margin 2.7 juta undi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Iran.