fb fb fb fb fb

Anwar terima kunjungan Menteri Luar Denmark

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Luar Denmark Lars Løkke Rasmussen hari ini.

Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pertemuan itu diadakan di Bangunan Parlimen, Anwar dan Rasmussen menekuni hubungan dan kerjasama dua hala kedua-dua negara.

"Saya mengalu-alukan pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur pada bulan Ogos yang lalu.

"Kami turut mengalu-alukan pelaburan dari Denmark di sektor-sektor bernilai tinggi seperti tenaga hijau, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan kesihatan. Saya turut menghargai pelabur dari Denmark yang telah membuka hub wilayah di sini, terutamanya syarikat Maersk dan United Plantations," menurut hantaran itu.

Lawatan kerja selama dua hari yang bermula semalam itu merupakan lawatan sulung Rasmussen ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Menteri Luar Denmark.

Jumlah dagangan Malaysia dan Denmark antara Januari dan Oktober 2024, meningkat sebanyak 12.9 peratus kepada RM2.19 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Malaysia juga menempatkan lebih 100 syarikat dari Denmark dengan nilai pelaburan melebihi RM2.2 billion dalam bidang pembuatan sehingga Jun 2024 yang mewujudkan 5,024 peluang pekerjaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI