fb fb fb fb fb

Anwar terima anugerah awam tertinggi Pakistan

Anwar dikurniakan anugerah Nishan-e-Pakistan / Foto RTM

ISLAMABAD, 4 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurniakan anugerah Nishan-e-Pakistan, iaitu anugerah awam tertinggi Pakistan.

Anugerah tersebut disampaikan Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari di Istana Presiden.

Penganugerahan itu berdasarkan kepimpinan Anwar dalam menggalakkan dan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Pakistan.

Terdahulu, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Asif.

Presiden Pakistan itu turut meraikan Perdana Menteri serta delegasi dalam majlis makan malam.

Dalam lawatan negara Perdana Menteri ke Pakistan, Anwar turut menekankan keperluan agar Malaysia dan Pakistan bekerjasama dalam memerangi ekstremisme radikal dan keganasan.

Ini melalui perkongsian risikan dan inisiatif secara bersama.

"Kita mesti menggandakan usaha untuk memerangi ancaman ini (ekstremisme) di peringkat bawah.

"Usaha ini memerlukan pendekatan bersepadu melangkaui kerjasama ketenteraan dan perisikan dengan melakukan transformasi pendidikan dan sosial, yang menangani punca kepada radikalisme dan ekstremisme," kata Anwar.

Sementara itu, lawatan negara Perdana Menteri ke Pakistan membuktikan kesungguhan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama, khususnya ekonomi.

Anwar berkata, terdapat potensi besar dalam hubungan perdagangan yang perlu dipelopori, melibatkan beberapa projek yang bakal diusahakan kedua-dua pihak.

Perdana Menteri mengakui prestasi perdagangan antara Malaysia dengan Pakistan agak malap dengan nilai perdagangan 1.5 bilion dolar tahun lepas.

Namun, perbincangan serius diadakan di Islamabad untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

"Dia (Pakistan) berikan satu penghormatan dan perhatian dan perbincangan yang serius untuk meningkatkan kerjasama..pekerja mahir, AI (kecerdasan buatan), digital dan juga semikonduktor," katanya.

Selain itu, perbincangan juga menyentuh mengenai zon ekonomi khas dan kerjasama bidang pertahanan.

Menurut Anwar, Pakistan berpotensi menjadi pintu masuk kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan pasaran di Asia Tengah dan Asia Barat.

ARTIKEL BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM