fb fb fb fb fb

Anwar sokong penuh titah Sultan Selangor berkaitan agama Islam

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Disember- Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan rakyat terutamanya bukan Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini disokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Anwar, pihak berkenaan boleh merujuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk sebarang persoalan.

"Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada MKI untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab," kata Anwar menerusi Facebook.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham agar kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam serta dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM