KUALA LUMPUR, 31 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar rakyat di negara ini meneladani kehidupan di Sarawak yang tenang dengan rakyatnya hidup dalam perpaduan meskipun rencam kaum, agama dan budaya.
Perdana Menteri berkata, sebarang isu dan perbezaan perlu diurus dengan hikmah, ihsan dan kasih sayang berbanding pergaduhan, amarah dan kebencian.
"Saya turut singgung sikap segelintir masyarakat sejak akhir-akhir ini yang begitu mudah membelit diri dengan isu-isu lama dan gemar memperbesarkan masalah kecil hingga melarat menjadi mudarat," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook malam tadi.
Beliau turut mengagumi keamanan dan kestabilan politik di Bumi Kenyalang itu dengan barisan pimpinan yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk rakyat, membolehkan hubungan erat terjalin antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
"Hubungan ini membolehkan kita mewujudkan kerjasama luar biasa, di mana buat julung kalinya Kerajaan Persekutuan dapat menyerahkan tanggungjawab dan kepercayaan penuh buat Kerajaan Negeri untuk memulakan projek pembangunan tertentu.
"Kerjasama ini membolehkan pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan klinik, khususnya di luar bandar dan pedalaman dibangunkan dengan lebih pantas dan kos lebih rendah berbanding kaedah biasa," katanya.
Semalam, Anwar melakukan lawatan kerja ke Kuching, Sarawak serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama kira-kira 2,000 masyarakat setempat di perkarangan Masjid Al-Muttaqin di Kota Samarahan.
Pada majlis itu, beliau turut mengingatkan semua umat Islam untuk menyelami ibrah Ramadan tahun ini dan meningkatkan iman dan amal yang menjadi teras kepada disiplin serta integriti diri.