KUANTAN, 6 Julai- Cara kerja lama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), perlu diubah.
Langkah itu bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kelulusan projek baharu demi memacu pembangunan di semua kawasan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua setiausaha kerajaan negeri diingatkan memantau senarai projek yang diluluskan dan melaksanakan kemas kini status projek secara berkala.
"...kalau Majlis Perbandaran, Kerajaan Negeri, agensi-agensi persekutuan itu efisien dan cepat, maka cepatlah naik. Tetapi kalau persekutuan, negeri, perbandaran di mana-mana lembab, jadi lembab juga kemajuannya.
"Pilihan kita, kita nak maju cepat tetapi kita lulus secara lama. Nak buat satu jabatan, universiti, fakulti memerlukan satu tahun setengah, itu kaedah lama," katanya semasa berucap dalam Program Madani Rakyat Zon Timur di sini.
Perdana Menteri turut memberi contoh penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diluluskan hanya dalam tempoh empat bulan.
Sekali gus menunjukkan kesediaan dalam kalangan rakyat, penjawat awam dan ahli akademik untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik.
Dalam pada itu, sebanyak RM58 billion telah dibelanjakan untuk bantuan kepada rakyat .
Perkara itu melibatkan beberapa projek seperti tebatan banjir, memperbaiki sistem pengairan , meningkatkan mutu hasil padi dan lain-lain di beberapa negeri.
"...untuk subsidi bantuan kepada rakyat untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bernilai RM10 bilion untuk satu tahun yang kita hantar langsung kepada rakyat.
"Ini penambahan daripada sebelum ini, untuk petani, nelayan, pekebun kecil kemudian ada projek-projek besar yang terpaksa dilaksanakan. Misalnya tebatan banjir Terengganu, Kelantan, beberapa kawasan di Johor, Kedah, Sabah berat menghadapi banjir. Jadi terpaksa dibelanjakan puluhan bilion untuk itu," katanya.