fb fb fb fb fb

Anwar rafak sembah tahniah pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Agong baharu

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Al- Marhum Sultan Iskandar (kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) / Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah sempena pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut berikrar untuk terus memberikan kesetiaan dan ketaatan kepada Baginda.

"Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.

"Patik dan sekalian rakyat juga mendoaakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan", kata Perdana Menteri lagi.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Al- Marhum Sultan Iskandar, secara rasmi memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk lima tahun hari ini.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD