PUTRAJAYA, 23 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bonus untuk kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan ditingkatkan.
Menurut Anwar, ini bagi menghargai pencapaian jabatan itu yang mengutip lebih RM55.1 bilion hasil cukai untuk tahun 2023.
Anwar turut mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk penambahbaikan perumahan kakitangan JKDM.
"Keyakinan saya beri jaminan bonus tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.
"Maka peruntukan awal RM20 juta itu kita tambah untuk kastam sahaja kepada RM50 juta, selain kita umumkan supaya perumahan kita itu diperbaiki dan tak uzur dan daif, juga usaha untuk membina projek perumahan baharu," kata Anwar dalam ucapannya ketika merasmikan Sambutan Hari Kastam sedunia ke-42 peringkat JKDM di sini.
Dalam perkembangan lain Anwar turut mengingatkan supaya tidak culas membayar cukai kepada negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut tidak terkecuali daripada membayar cukai yang dikenakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Klang bernilai RM500.
"Tahun lalu beberapa bulan setelah saya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, sahabat lama saya, seorang Arab setiap tahun memberi satu tong minyak zaitun kepada saya. Jadi saya bawa minyak zaitun itu dan bagi kepada kawan-kawan sebab ia ditanam di kawasan rumah sahabat saya.
"Tahun ini Kastam Klang kenakan cukai sebanyak RM500 kepada saya. Saya kata ini bukan untuk meniaga. Saya bagi ini contoh, kalau Perdana Menteri pun bayar cukai, rakyat lain jangan menipu," katanya.