fb fb fb fb fb

Anwar mulakan lawatan rasmi ke Kazakhstan

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kassym-Jomart Tokayev mengadakan mesyuarat dua hala untuk perbincangan yang lebih meluas membabitkan delegasi masing-masing/Foto PMO

ASTANA 16 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi sempena lawatan sulungnya ke Republik Kazakhstan. 

Ketibaan Perdana Menteri disambut Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden Ak Orda, di sini. 

Perdana Menteri turut diberi penghormatan memeriksa kawalan kehormat sebelum diperkenalkan kepada barisan kepimpinan negara.

Ia kemudian diikuti dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Kassym Jomart Tokayev bagi membincangkan pelbagai isu semasa dan antarabangsa. 

Acara diteruskan dengan mesyuarat antara kedua-dua belah pihak termasuk menyentuh hal-hal berkait hubungan bilateral, perdagangan, pelancongan dan pensijilan halal. 

Satu Kenyataan Bersama akan ditandatangani esok susulan mesyuarat tersebut selain menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan berkaitan daripada kedua-dua pihak.

Nilai dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 ialah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (US$102.2 juta) merupakan eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (US$1.9 juta) ialah nilai import dari Kazakhstan.

Anwar sebelum ini telah mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz.

Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan rasmi ke Uzbekistan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI