fb fb fb fb fb

Anwar luang masa, lawat mangsa kebakaran Kampung Manjoi

10 unit rumah di Kampung Manjoi, Ipoh terbakar akibat litar pintas

IPOH, 29 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertemu dengan mangsa kebakaran 10 unit rumah di Kampung Manjoi, di sini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut meninjau lokasi kebakaran tersebut dan mendengar taklimat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Mangsa terlibat Muhamad Amirul Abu Muh Jin berkata, kejadian berkenaan berlaku sekelip mata.

"Kejadian berlaku memang cepat dalam lima hingga tujuh minit. Semasa bomba sampai ke sini, api sudah marak hingga ke tengah dan ia dapat dikawal daripada terus merebak sampai ke sebelah sana.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberikan sumbangan kepada kami, ia akan membantu kami dan meringankan beban," katanya.

Sementara itu Mormalatul Haniza Mohd Nor berkata, dalam kejadian berkenaan barangan dapur termasuk perabot di dalam rumahnya turut musnah.

"...barang dapur, tilam, almari semuanya musnah, namun terima kasih kepada Perdana Menteri sebab sudi melawat kami di sini.

"Kami juga tidak menyangka semua ini akan terjadi begini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang semalam, sebanyak 10 buah rumah musnah melibatkan 15 penduduk daripada enam keluarga, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Hasil laporan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas.

Setiap keluarga terlibat menerima RM5,000 dan ia disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau Muhammad Kamil Abdul Munim pada Ahad.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI