fb fb fb fb fb

Anwar, Lee Hsien Loong tiba di Istana Negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Fahmi Fadzil sejurus tiba di Anjung Utama Istana Negara/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.

Beliau tiba bersama-sama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Anjung Utama Istana Negara pada pukul 8.45 pagi tadi.

Turut hadir Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri negara itu Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching.

Khamis lalu Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan, Lee antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang diundang oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda hari ini.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir turut hadir bersama kira-kira 700 tetamu yang lain.

Ketibaan tetamu kehormat itu disambut Menteri Komunikasi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI