fb fb fb fb fb

Anwar kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh hari ini.

Anwar berkata beliau amat berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin.

"Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.

"Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.

"Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.

"Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Haniyeh sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan," kata Anwar menerusi perkongsian di Facebook.

Tambah Anwar, rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya.

Beliau turut bimbang tentang nasib rakyat Palestin susulan pembunuhan Haniyeh.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM