fb fb fb fb fb

Anwar kekal pendirian enggan terima gaji, pulangkan elaun Pengerusi Khazanah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) di Putrajaya

PUTRAJAYA, 26 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak mahu mengambil sebarang elaun yang ditawarkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini termasuk gaji bagi jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sejak November 2022.

“Tadi saya pengerusikan mesyuarat Khazanah, rupanya Pengerusi Khazanah, Perdana Menteri selama ini, ada elaun.

"Saya tidak tahu, selepas beberapa bulan, masuk dalam bank iaitu elaun mesyuarat, saya beritahu saya tidak ambil. Saya terpaksa pulangkan balik elaun Khazanah dan saya beritahu mesyuarat tadi jangan bayar elaun saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) di sini petang tadi.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran.

Sebelum ini, RTM melaporkan Anwar tidak akan mengambil gaji bagi jawatan Perdana Menteri dalam sidang media pertamanya pada 24 Novermber 2022.

Menurutnya, keputusan itu merupakan langkah pertama untuk memulih keyakinan rakyat terhadap pimpinannya.

GRACE AISYAH KEDAYAN