HANOI, 24 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Hanoi, Vietnam bermula esok atas jemputan rakan sejawatnya Pham Minh Chinh.
Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai berkata, Anwar dijangka menyampaikan ucaptama di Forum Masa Depan ASEAN (AFF) ke-2 pada Rabu ini.
Lawatan itu adalah kali kedua Anwar mengunjungi Hanoi sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, selepas lawatan rasmi pertamanya pada Julai 2023.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, adalah penting untuk Malaysia mempromosi dan mempertahankan objektif dan keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi, agar pendirian dan pendapat Malaysia diketengahkan supaya di ambil kira dalam perbincangan berkaitan masa depan ASEAN.
“Ucaptama Perdana Menteri sewaktu forum akan memberi penekanan terhadap usaha untuk memperkukuh ASEAN dalam menghadapi tekanan kuasa besar, mengukuhkan agenda ekonomi digital ASEAN, memacu inisiatif hijau serta mengutamakan pembangunan mampan bagi menjamin masa depan negara-negara anggota ASEAN,” katanya dalam sidang media di Kedutaan Malaysia di Hanoi hari ini.
Menurut beliau, Anwar dan rakan sejawatnya akan membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan Malaysia-Vietnam dengan tumpuan kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sektor utama yang berkepentingan bersama.
“Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan.
“Isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan,” katanya.
Perdana Menteri dijangka tiba di Hanoi pada 7.35 malam Selasa waktu tempatan.
Dalam rangka lawatan itu, Anwar dijadualkan menyertai sesi perbincangan panel bersama Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri New Zealand Christopher luxon.
Beliau akan diiringi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Turut serta ialah pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, dan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi.
Dagangan dua hala pada tahun 2024 meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada AS$18.14 bilion (RM83.11 bilion), berbanding AS$17.38 bilion (RM79.42 bilion) yang dicatatkan pada 2023.
Peningkatan tersebut menandakan pemulihan daripada penurunan 10.6 peratus pada tahun sebelumnya, mencerminkan aktiviti perdagangan yang semakin baik antara kedua-dua negara.
Eksport Malaysia ke Vietnam meningkat sebanyak 3.3 peratus kepadaAS$11.74 bilion (RM53.86 bilion), mencerminkan permintaan kukuh di Vietnam terhadap produk elektrik dan elektronik serta produk petroleum dari Malaysia.
Pada tahun 2024, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia, menyumbang 2.9 peratus daripada jumlah dagangan keseluruhan negara.
Vietnam juga menjadi destinasi eksport ke-10 terbesar Malaysia dengan pegangan 3.6 peratus, serta sumber import ke-13 terbesar, mewakili 2.1 peratus daripada jumlah import Malaysia.
Dalam kalangan ASEAN, Vietnam mengekalkan kedudukannya selama tiga tahun berturut-turut sebagai rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia pada tahun 2024.
Republik Vietnam juga merupakan destinasi eksport ke-4 terbesar dan sumber import ke-4 terbesar dalam blok ASEAN.
Kedudukan itu mengukuhkan lagi hubungan perdagangan Malaysia-Vietnam serta menonjolkan kepentingan Vietnam sebagai rakan serantau utama negara.