fb fb fb fb fb

Anwar cadang setiap pemimpin jaga satu kampung

Datuk Seri Anwar Ibrahim

BUKIT MERTAJAM, 5 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan setiap pemimpin dalam negara termasuk Perdana Menteri untuk menjaga satu kampung pilihan masing-masing.

Perkara itu dilihat bagi memastikan sebarang masalah yang dihadapi dalam kampung jagaan masing-masing dapat disalur secara terus kepada platform yang tepat dan berkesan.

"Semua menteri kena pilih satu kampung kampung sama ada kampung dia atau mama-mana kampung untuk dijaga.

"Ketika ini, kita ada lebih 2,000 pemimpin berjawatan tinggi dan mereka yang turun bukan membawa pangkat sebaliknya pergi sebagai anak kampung yang dapat menyelesaikan masalah dihadapi kampung jagaan mereka," katanya dalam ucapan semasa hadir ke Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Galeri Pejuang, Cheruk Tok Kun, di sini.

Menurut Anwar cadangan itu diperoleh hasil dapatan maklumat daripada pertemuan dengan pemimpin masyarakat Permatang Pauh pagi tadi.

Menerusi jagaan itu penduduk kampung dapat menikmati projek ekonomi yang diperlukan dan memberi manfaat menyeluruh kepada mereka.

Selain itu permasalahan berkaitan pengangguran, akademik, ekonomi, jenayah dan moral dapat dikenal pasti serta menyelesaikan ia secara lebih menyeluruh.

Bagaimanapun perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI