fb fb fb fb fb

PM bertemu beberapa pemimpin pertubuhan Islam Laos

Vientiane, 26 Jun - Setibanya di Laos, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam Laos di sini.

Anwar yang tiba di ibu negara Laos petang tadi, bertemu dengan penasihat eksekutif Persatuan Mempromosikan Perpaduan Zakkir Malimar serta naib presiden Pertubuhan Islam Laos Imam Sofi Sengsone dan naib presiden pertubuhan itu Med Komphavong, di sebuah hotel di sini.

Pertemuan tersebut amat bermakna bagi komuniti Islam di negara ini khususnya dalam usaha menterjemahkan Al-Quran dalam bahasa tempatan.

Turut hadir pembantu naib presiden pertubuhan itu Azizullah Khan Thamahaksa.

(FOTO BERNAMA)

Sesi yang bermula pukul 8.10 malam itu berlangsung selama kira-kira 40 minit dengan perbincangan berkisar kepada isu-isu Ummah.

Pertemuan tersebut turut membincangkan isu-isu ummah terutamanya yang dihadapi oleh lebih 900 orang umat Islam di negara itu.

Zakkir ketika ditemui selepas mesyuarat tertutup itu berkata antara yang dibincangkan adalah mengenai terjemahan al-Quran ke dalam bahasa Lao, pendidikan untuk kanak-kanak Islam Laos, pertukaran ilmu dan budaya.

"Perkara yang kami ingin lakukan ialah memohon untuk membantu menterjemahkankan Al Quran.. Selain itu kami inginkan pendidikan bahasa inggeris kepada anak-anak. Apa yang penting kami mahu umat Islam di Laos mendapat peluang belajar di Malaysia," kata Zakkir Malimar di sini.

"Beliau mahu membantu sebelum kami meminta bantuan, beliau amat memberi perhatian pada kepentingan umat Islam di Laos. Beliau memaklumkan kedutaan Malaysia di sini akan memberi bantuan untuk seperti mendapatkan biasiswa.

"Beliau mahu komuniti yang baru memeluk Islam mendalami Islam sama seperti individu yang lahir sebagai Islam." kata Azizullah Khan Thamahaksa.

Turut bersama-sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud.

Media Baharu