fb fb fb fb fb

Anwar bakal lancar sistem PADU esok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.

PADU merupakan sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Majlis tersebut akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu, melibatkan pembentangan mengenai PADU oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan forum bertajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’.

Kementerian Ekonomi dalam laman Facebook memaklumkan, sistem PADU akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia selepas majlis pelancaran berkenaan.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.

Pelaksanaan sistem itu adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Bagaimanapun semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

3,000 individu terawal yang mendaftar ke dalam sistem PADU layak mendapat kad Touch n' Go NFC secara percuma.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI