KUALA LUMPUR, 2 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk menjalankan audit dalaman susulan kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta yang dilaporkan baru-baru ini.
Menurut Anwar, sebagai Pengerusi Khazanah, langkah tegas itu bertujuan memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus korporat.
"Selaku Pengerusi, saya telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan ini.
"Arahan ini selari dengan pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan pematuhan kepada tanggungjawab dan fungsi mereka,” katanya di akaun media sosial X.
Tambah beliau, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik dalam GLC.
Terdahulu, Anwar mahu siasatan terhadap mana-mana syarikat berkaitan kerajaan atau swasta dilakukan tanpa pengecualian selain mengenakan tindakan sekiranya didapati bersalah.
Beliau menegaskan perkara itu termasuk isu yang melanda Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta Khazanah Nasional Berhad.
Beliau berkata tidak akan menghalang dan masuk campur dalam siasatan NAFAS dan Khazanah.
Dalam kenyataan berasingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.