fb fb fb fb fb

Anwar arah hasil libat urus isu padi, beras dibentang dan dimuktamad

Datuk Seri Anwar mempengerusikan Mesyuarat NACCOL/Foto facebook

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya hasil libat urus berkenaan isu padi dan beras dibentang serta dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 20 Mac depan sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Perkara itu bagi menyelesaikan isu mendapatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) yang terhad.

Anwar turut memaklumkan, beliau masih menerima aduan berkenaan perkara itu selain mahu kerajaan memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5% setakat Januari 2024.

"Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga beras putih import (BPI) di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.

"Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan MADANI pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran," katanya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran.

Perkara itu bagi memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak mencampurkan kandungan BPT dan BPI untuk dijual dengan harga tinggi.

Sementara itu Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah.

Dalam mesyuarat sama, cadangan pelaksanaan Beras Putih Malaysia MADANI turut dibincangkan.

"Beberapa wakil industri dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya yang mewakili pesawah dan pengilang turut menyuarakan cadangan serta pandangan berhubung situasi padi dan beras negara, khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat," katanya.

Selepas mendengar perkara tersebut mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci secepat mungkin.

Ia meliputi harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

Anwar juga menyarankan agar program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahliahli NACCOL.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI