SEREMBAN, 6 September- Majlis Anugerah Seni Negeri Sembilan 2025 menjadi platform pengiktirafan tertinggi kepada pendukung dan penggiat seni yang memberi sumbangan besar dalam pembangunan serta pengembangan seni budaya negeri.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, acara berkenaan turut menjadi wadah perpaduan masyarakat berbilang kaum serta cerminan identiti bangsa yang harus dipertahankan.
“Anak-anak seni banyak memainkan peranan kerana seni membina karakter. Kajian juga menunjukkan seni boleh menambah kreativiti seseorang dan dari situ lahir inovasi.
Saya rasa ia bagus untuk masa depan negara jika kita beri tumpuan kepada bidang seni,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Anugerah Seni Negeri Sembilan 2025 di sini.
Sebanyak empat kategori anugerah dipertandingkan, termasuk Anugerah Tokoh Seni Negeri Sembilan yang disampaikan kepada Profesor Dr Ahmad Rashidi Hassan.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Negeri Sembilan pula meraih Anugerah Pendukung Seni Negeri Agensi Kerajaan, manakala Shreevar UniqArts Conservatory diumumkan penerima Anugerah Pendukung Seni Negeri Sembilan 2025 Kategori Badan Bukan Kerajaan.
Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Sembilan turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Pendukung Seni Negeri Sembilan 2025 Kategori Media.
Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Sembilan, Suhana Suratman, menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan tersebut.
“Kami sangat bersyukur kerana segala penat lelah dalam mendukung seni diberikan pengiktirafan sewajarnya.
Ia bukan kejayaan RTM Negeri Sembilan semata-mata, tetapi mewakili RTM keseluruhannya,” ujar beliau.