KUALA LUMPUR, 24 November- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk melantik Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato' Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, perkara itu diputuskan selepas memperhalusi titah, pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu juga selepas Baginda berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang berlangsung pada 11:00 pagi tadi.
"Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 lepas," menurut kenyataan itu.
Perbincangan khas itu adalah juga bertujuan bagi Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
(Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10/FB Anwar Ibrahim)
"Proses tersebut di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri dijadualkan berlangsung pada pukul 5:00 petang ini di Istana Negara.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda mengingatkan semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
"Justeru bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta," kata kenyataan itu.
Tegas Baginda, bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ianya bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.
Baginda turut berpesan kepada perdana menteri dan kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
"Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara," menurut kenyataan itu.
Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang.
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.