JERANTUT, 5 Januari- Operasi pencarian remaja yang dikuatiri lemas selepas terjatuh dari rumah rakit ke dalam Sungai Pahang di Kampung Jerantut Feri, Jerantut; memasuki hari kedua.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, khidmat dua anjing pengesan, Grouse dan Lady turut digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki itu.
Menurutnya, operasi SAR hari ini dimulakan seawal pukul 7 pagi tadi turut disertai 41 anggota penyelamat pelbagai agensi, sambil dibantu 20 penduduk kampung.
Ia termasuk 20 anggota bomba, antaranya enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Temerloh.
Pasukan PPDA telah membuat selaman pada 9.20 pagi; manakala, pasukan K9 membuat pencarian mangsa dipermukaan bersama anjing pengesan.
Bagaimanapun, sehingga 1 tengah hari, mangsa, Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi, 14 tahun, masih belum ditemui.
Semalam, mangsa yang sedang memancing bersama dua rakannya di rumah rakit tergelincir ke dalam sungai dan hilang dibawa arus.