
SUNGAI PETANI, 15 Februari – Seramai 70 penghuni OKU D’Zenith Home di sini menerima sumbangan buah limau dan angpau menerusi program khas anjuran Persatuan Orang-orang Tua Sungai Petani sempena sambutan Tahun Baharu Cina, sebagai usaha memastikan golongan kurang bernasib baik turut merasai kemeriahan perayaan itu.
- Persatuan Orang-orang Tua anjur program Tahun Baharu Cina beri angpau dan buah limau kepada penghuni pusat jagaan OKU.
- Inisiatif bertujuan menceriakan penghuni yang uzur, terlantar atau tiada waris supaya tidak berasa terpinggir semasa perayaan.
- Program tahunan itu menunjukkan solidariti masyarakat dan akan diteruskan untuk sokong kebajikan golongan memerlukan.
Program tahunan berkenaan menyasarkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang menetap di pusat jagaan berkenaan, termasuk mereka yang uzur, terlantar serta tidak mempunyai waris.
Naib Pengerusi persatuan itu, Cheng Soo Chye berkata, inisiatif berkenaan adalah tanda keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan penghuni pusat berkenaan agar mereka tidak berasa terpinggir ketika musim perayaan.
Menurut beliau, sambutan Tahun Baharu Cina seharusnya diraikan bersama keluarga, justeru program itu sedikit sebanyak dapat menceriakan penghuni walaupun dalam suasana sederhana.
“Kami datang ke rumah orang tua untuk memberikan angpau dan menyediakan jamuan makanan. Makanan yang disediakan juga istimewa dan enak sebagai tanda penghargaan. Selepas itu, kami turut menyampaikan angpau kepada mereka.
“Saya juga ingin menyeru anak-anak supaya membawa ibu bapa pulang ke rumah untuk berkumpul bersama keluarga sempena Tahun Baharu Cina. Dalam setahun hanya sekali perayaan ini diraikan. Anak-anak perlu datang menziarahi ibu bapa kerana mereka sentiasa menunggu kehadiran anak dan cucu untuk bertemu serta meluangkan masa bersama’, ujar beliau demikian ketika ditemui pada majlis berkenaan di sini.
Kebanyakan penghuni pusat itu berusia antara 28 hingga 93 tahun, terdiri daripada individu yang hidup sebatang kara atau mempunyai keluarga yang tinggal berjauhan termasuk di luar negara.
Penempatan mereka di pusat jagaan berkenaan bertujuan memastikan kebajikan, kesihatan dan keperluan harian sentiasa terpelihara, sekali gus memberi peluang kepada mereka menjalani kehidupan lebih selesa dan terurus.
Program seumpama itu dijangka akan terus dilaksanakan pada masa hadapan sebagai tanda solidariti dan sokongan masyarakat terhadap golongan memerlukan.