KUALA LUMPUR, 22 Mac - Ahli Dewan Negara Senator, Muhammad Zahid Md Arip berkata, pelbagai perubahan perlu dilakukan bagi merealisasikan langkah memartabatkan Bahasa Melayu.
Menurutnya, usaha mengembalikan darjat Bahasa Melayu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus disokong.
"Kami menzahirkan betapa pentingnya Bahasa Melayu diangkat kembali darjatnya sebagai lingua franca, bahasa pengantaraan seperti mana tersohornya Bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan, bahasa diplomatik dan bahasa pentadbiran ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu.
"Saya mencadangkan Institut Terjemahan Negara ditambah baik menjadi institut terjemahan dan tafsiran negara," katanya di persidangan Dewan Negara hari ini.
(Senator Muhammad Zahid Md Arip/FOTO Bernama)
Tambahnya, institusi seumpama ini perlu diletakkan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar selari dengan beberapa pindaan dan akta DBP sendiri yang sedang dirangka pada ketika ini.
Tegas beliau, Bulan Bahasa Melayu juga perlu diberi nafas baharu dan disemarakkan agar dapat menarik minat seluruh lapisan masyarakat.