fb fb fb fb fb

ANGKASA teroka lima bidang baharu, perkukuh ekonomi koperasi

Foto FB ANGKASA

 

KELANA JAYA, 22 Jun- Lima cabang perniagaan baharu bakal diteroka Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi memperkukuh ekonomi koperasi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya membuat permohonan kelulusan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasan (MAPA) ke-38 hari ini.

Jelasnya, kelulusan projek perniagaan baharu itu akan membantu koperasi seluruh negara terus berkembang dan berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.

"Antara projek-projek baharu yang dicadangkan projek pemprosesan coklat. Ini kita nak beri peluang kepada koperasi di Sabah yang ada mengusahakan tanaman koko.

"Mereka boleh buat produk berasaskan koko contohnya proses kacang koko menjadi serbuk atau bar coklat. Kali ini, kita akan melangkah setapak lagi. Bukan sahaja bidang tenusu tetapi juga akan terlibat dalam industri penternakan lembu dan daging," kata Dr. Abdul Fattah kepada pemberita dalam sidang media Mesyuarat Agung perwakilan ANGKASA ke-38, di sini.

Peruntukan itu juga melibatkan cadangan kemudahan kredit pusingan bagi pengembangan projek, projek keterjaminan makanan serta menambah 10 lagi pusat dialisis baharu bagi mengembangkan perkhidmatan rawatan itu.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut memberitahu, Kongres Koperasi Kebangsaan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Julai nanti menyasarkan penyertaan 5,000 ahli.

Majlis penutup kongres tersebut akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM