fb fb fb fb fb

ANGKASA pergiat usaha peluasan koperasi kariah masjid

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah

SERDANG, 28 April- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkasa institusi masjid sebagai penggerak ekonomi umat Islam, menerusi penubuhan koperasi kariah masjid.

Setakat ini, sebanyak 564 buah masjid telah menyahut seruan itu, dengan keahlian seramai 45,711 ahli koperasi kariah masjid seluruh negara.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya akan sentiasa mencari jalan bagi merancakkan pembangunan koperasi khususnya koperasi kariah masjid termasuk dengan menubuhkan jawatankuasa teknikal meliputi pelbagai agensi sebagai pemudah cara.

Usaha itu merangkumi pembabitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kementerian berkaitan serta pihak berkuasa agama tempatan di peringkat negeri.

"Kalau boleh kita nak 100% daripada 6,800 masjid ada koperasi. Ia bagi menggerakkan plaform ekonomi Islam. Ini harapan kita, yang akan kita akan berbincang pada tarikh yang berkenaan."

"Idea ini untuk menjadikan koperasi kariah ini sebagai usaha dalam menggerakkan ekonomi kariah setempat, melalui masjid sebagai pangkalan," kata Datuk Abdul Fattah kepada pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-4 Koperasi Kariah Masjid Taman Taming Jaya Selangor Berhad, di sini.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata ANGKASA juga bersedia membantu menggerakkan aktiviti perniagaan koperasi kariah masjid bagi mengelakkan koperasi berkenaan menjadi tidak aktif.

"Mana-mana mereka yang berminat khususnya jawatankuasa masjid atau komuniti yang berminat untuk menubuhkan koperasi kariah masjid, boleh berhubung dengan pejabat-pejabat ANGKASA negeri atau SKM yang berhampiran," tambah Datuk Abdul Fattah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM