KUALA LUMPUR, 29 Januari- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah melaksanakan program CSR Coopcare Penghijauan Malaysia dan Pencahayaan Canopy Walk.
Menurut Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail Ini antara komitmen yang ditunjukkan ANGKASA bagi memperkasa komitmen dan usaha menyokong kelestarian alam sekitar.
Sebanyak RM30,000 telah dibelanjakan bagi pemasangan pencahayaan di Canopy Walk Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) oleh ANGKASA.
Usaha tersebut antara langkah strategik bagi mempromosikan Canopy Night Walk, yang bakal memberikan pengalaman unik kepada pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna tropika pada waktu malam.
"Kita adakan penambahbaikan "canopy walk" untuk memberikan pendedahan kepada pelawat-pelawat yang datang di taman eko rimba di Bukit Nanas ini selain pelawat antarabangsa untuk menghayati keindahan alam flora kita.
Apatah lagi, ia berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Ini merupakan satu usaha ANGKASA memartabat program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Kita nak memperkenal kepada generasi muda.
Kita ambil kesempatan ini supaya generasi muda, bukan sahaja dapat menimba ilmu dalam apa jua bidang yang mereka terokai tetapi mereka menghayati tentang keindahan alam sekitar," kata Datuk Kamarudin kepada pemberita.
Dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan, "canopy walk" akan dibuka secara berkala dengan bayaran sebanyak RM10 manakala pelancong asing RM40.