PASIR MAS, 5 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan berkurangan kepada 25,058 orang setakat pukul 7.00 malam berbanding 27,497 orang pada 4.00 petang tadi.
Kesemua mereka yang terdiri daripada 8,135 keluarga itu berlindung di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan dua jajahan.
Menerusi portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatatkan jumlah penduduk terjejas seramai 14,609 orang daripada 4,577 keluarga ditempatkan di 32 PPS.
"Manakala, Pasir Mas pula mencatatkan 10,449 orang daripada 3,558 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS," menurut InfoBencana JKM.
Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang,Pasir Mas dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih melebihi tahap bahaya
Situasi sama di Johor, dengan bilangan penduduk terjejas banjir berkurangan daripada 993 orang kepada 979 penduduk setakat pukul 6.00 petang tadi.
Menurut maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, ia melibatkan 272 buah keluarga di 17 PPS.
"Seramai 803 penduduk terjejas masih berlindung di 15 PPS di Segamat.
"Manakala, 176 penduduk terjejas kekal berlindung di dua PPS yang masih aktif di Tangkak," menurut jawatankuasa itu.
Jalan Kuala Paya - Balai Badang dan Jalan Tumang, Segamat masih ditutup kepada semua jenis kenderaan. Jalan Serakek, Segamat hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat.
Di Pahang setakat pukul 7.00 malam, jumlah penduduk terjejas banjir di negeri itu kekal seramai 15 orang daripada lima buah keluarga membabitkan daerah Maran.
Menurut Portal InfoBencana JKM, kesemua penduduk terjejas itu kini masih berlindung di sebuah PPS di Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran.
Dalam pada itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, sungai Luit di Kampung Subuh, Maran telah melepasi aras bahaya dengan bacaan 27.09 meter berbanding aras normal 24 meter.