fb fb fb fb fb

Angka penduduk terjejas banjir di Johor, Sarawak meningkat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Seramai 12,347 orang daripada 3,615 keluarga terjejas banjir di Johor, setakat pukul 12.00 tengah malam tadi.

Angka berkenaan meningkat berbanding 11,964 orang daripada 3,594 keluarga, setakat pukul 8.00 malam tadi.

Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan bahawa 94 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di negeri berkenaan.

"Johor Bahru menjadi daerah paling terjejas teruk, membabitkan 5,047 orang daripada 1,505 keluarga di 27 PPS.

"Ini diikuti Kluang 2,388 orang, Pontian (1,873 orang), Kota Tinggi (1,657 orang), Kulai (1,285 orang) dan Batu Pahat, 97 orang," menurut kenyataan itu.

Sementara di Sarawak, seramai 740 orang daripada 206 keluarga ditempatkan di enam PPS.

Angka berkenaan meningkat, berbanding 565 orang daripada 140 keluarga, setakat malam tadi.

Song mencatat daerah paling terjejas. Ia menempatkan 322 orang daripada 87 keluarga di satu PPS.

Di Sabah pula, seramai 369 orang daripada 118 keluarga terbabit dengan banjir.

Angka berkenaan menurun, berbanding 372 orang daripada 118 keluarga malam tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di tujuh PPS negeri itu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM