MELAKA, 10 Januari- Susulan kes anggota Tentera Laut hilang ketika menjalani latihan amali, satu penilaian dalaman akan dibuat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, latihan amali yang dijalani mangsa, adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Tambah beliau, penilaian dan penambahbaikan akan dilakukan dalam sistem yang diguna pakai.
“Mengikut laporan yang dilakukan, latihan itu mengikut SOP termasuk dari segi peralatan, kerana sebelum kejadian (lemas) tersebut pasukan telah melakukan penyelaman sedalam 60 kaki dan diteruskan kepada 120 kaki.
“Mangsa juga bukanlah dari kumpulan pertama tetapi kumpulan kedua, kumpulan pertama telahpun selesai melakukan penyelaman (latihan) itu, jadi SOP itu telah dipatuhi," katanya.
(Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari)
Beliau ditemui pemberita ketika meninjau pergerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pengkalan carilamat (PHC) di Pulau Besar, Melaka.
Hadir sama, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim.
Operasi SAR diluaskan selain, penggunaan alat pengesan SONAR digunakan bagi mengesan kedudukan mangsa.
Lans Koperal Edrin Baintim, 25 tahun, dipercayai hilang sewaktu menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Undan, Melaka.