fb fb fb fb fb

Anggota tentera maut terseret 100 meter

FOTO POLIS PERAK

TANJUNG MALIM, 21 Februari- Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah kereta dalam insiden kemalangan yang berlaku di Kilometer 379, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan tengah malam tadi.

Mangsa, Mohamad Hafizz Yusof, 28 tahun, dipercayai bertugas sebagai anggota tentera Di Kem Bentong, Pahang maut di lokasi dalam kejadian sekitar pukul 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), motosikal dan kereta jenis Nissan Almera.

Menurut beliau, siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berpangkat lans koperal berusia 39 tahun dalam perjalanan dari Pasukam Polis Marin Wilayah 1, Pulau Pinang ke Shah Alam.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaannya mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan. Beberapa minit kemudian, terdengar bunyi dentuman dari belakang kerana dilanggar motosikal mangsa,"kata Mohd Hasni.

Katanya lagi, ketika kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun tidak sempat mengelak mangsa yang tercampak di hadapannya menyebabkan mangsa terseret sejauh 100 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan.

Ujarnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pemandu lain tidak cedera.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE