Anggota bomba PPDA, adik dikhuatiri lemas di Pantai Kandis

Seorang anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bayan Baru, Pulau Pinang bersama adiknya, dikhuatiri lemas di Pantai Kandis, Bachok/ RTM

BACHOK, 17 Februari – Seorang anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bayan Baru, Pulau Pinang bersama adiknya, dikhuatiri lemas di Pantai Kandis, di sini petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua mangsa dipercayai lemas di Pantai Kandis semasa mandi bersama keluarga petang tadi.
  • Seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan oleh bapanya, manakala anggota bomba hilang ketika cuba menyelamatkan adiknya.
  • Operasi mencari dan menyelamat disertai JBPM, Angkatan Pertahanan Awam, PDRM dan anggota PPDA.
  • Keadaan ombak besar dan air pasang menyukarkan usaha pencarian; operasi masih diteruskan dan mangsa belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, kedua mangsa bersama 20 ahli keluarga yang lain ke pantai itu untuk beriadah.

Ketika kejadian, beberapa ahli keluarga yang lain sedang mandi sebelum Ahmad Nuruddin Ab Wahab, 21, dan anak saudaranya, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad,12, dipercayai lemas.

Katanya, bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Ezad Abu Hassan,40, dan anggota bomba, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 34, bergegas ke pantai cuba menyelamatkan kedua-duanya.

Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan bapanya manakala Ahmad Badrul Naim yang cuba menyelamatkan adiknya, Ahmad Nuruddin pula hilang dan dikhuatiri lemas.

“Mangsa berumur 21 tahun turut mandi-manda bersama dengan anak saudaranya berumur 12 tahun itu, bagaimanapun kedua-duanya yang dalam keadaan lemas cuba diselamatkan oleh mangsa yang berumur 34 tahun manakala anak saudara yang berumur 12 tahun itu telah berjaya diselamatkan oleh ayahnya sendiri, ekoran pada itu keadaan ombak yang bergelora ini menyebabkan kedua-duanya disyaki telah lemaslah,” kata beliau ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Khairul Fais Ariffin berkata pihaknya menerima panggilan pukul 5.40 petang dan bergegas ke lokasi bersama 10 anggota.

Setibanya di lokasi, bomba mendapati keadaan ombak besar dengan air pasang dan operasi pencarian dilakukan secara permukaan dengan bantuan lapan anggota PPDA Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.